Bahasa : malay | english

Perlembagaan

PERLEMBAGAAN BAGI PERTUBUHAN INDUK PERSATUAN PENTADBIR UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA, SERDANG, SELANGOR (PPM-001-10-20111980)

FASAL 1 NAMA

  1. Pertubuhan ini dikenali dengan nama PERSATUAN PENTADBIR UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA, SERDANG, SELANGOR Selepas ini disebut "Pertubuhan".
  2. Takrif Nama : PPUPM
  3. Taraf Pertubuhan : Negeri

FASAL 2 TEMPAT URUSAN

  1. Alamat berdaftar dan tempat urusan pertubuhan ialah UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA, SERDANG 43400 SERDANG SELANGOR dan alamat untuk surat-menyurat adalah UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA, SERDANG 43400 SERDANG SELANGOR
atau di tempat lain atau tempat-tempat yang akan ditetapkan dari semasa ke semasa oleh Jawatankuasa; 2. Tempat urusan berdaftar dan alamat surat menyurat Pertubuhan tidak boleh diubah tanpa kebenaran  Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.

FASAL 3 TUJUAN/MATLAMAT

 

  1. Mewujudkan persefahaman, kerjasama dan kesejahteraan ahli melalui kegiatan PPUPM.
  2. Menyediakan platform bagi ahli mengadakan perkongsian ilmu berkaitan pengurusan dan pentadbiran.
  3. Mengukuhkan prinsip pengurusan yang cekap, adil dan demokratik.
  4. Menjalinkan hubungan dengan agensi lain yang sesuai dengan peranan dan matlamat PPUPM.
  5. Menjadi perantara ahli dengan UPM dan agensi lain.

FASAL 4 KEAHLIAN

Keahlian terbahagi kepada dua (2) kategori;
  1. Ahli Biasa Terbuka kepada pekerja UPM 
    1. Pengurusan dan Profesional (Bukan Akademik), dan
    2. Pelaksana gred 29 hingga 40.
  2. Ahli Bersekutu Pekerja UPM yang dahulunya berada di kategori Pengurusan dan Profesional (Bukan Akademik) dan ketegori pelaksana gred 29 hingga 40 yang telah bertukar skim kepada Pengurusan dan Profesional (Akademik). 
Pendaftaran Ahli Permohonan menjadi ahli hendaklah melalui borang yang disediakan oleh persatuan dan diserahkan kepada Setiausaha Kehormat.


FASAL 5 PERBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI

  1. Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi ahli Persatuan hendaklah memberi kenyataan bertulis 30 hari terlebih dahulu kepada Setiausaha Kehormat dan menjelaskan segala hutangnya.
  2. Mana-mana ahli yang gagal mematuhi undang-undang Persatuan atau bertindak dengan cara yang akan mencemarkan nama baik persatuan boleh dipecat atau digantung keahliannya bagi suatu tempoh sebagai mana yang difikirkan munasabah oleh Exco. Sebelum Exco memecat atau menggantung ahli tersebut, ahli itu hendaklah diberitahu akan sebab-sebab bagi pemecatan atau penggantungannya secara bertulis. Ahli tersebut juga hendaklah diberi peluang untuk memberi penjelasan dan membela dirinya. Pemecatan atau penggantungan itu hendaklah dilaksanakan melainkan mesyuarat agung menunda atau membatalkan keputusan itu atas rayuan oleh ahli tersebut.

FASAL 6 SUMBER KEWANGAN

  1. Bayaran masuk dan yuran yang perlu dijelaskan adalah seperti berikut : Bayaran masuk: RM 10.00 (Ringgit Malaysia : Sepuluh sahaja) Yuran Tahunan : RM 30.00 (Ringgit Malaysia : Tiga Puluh sahaja)
  2. Bayaran masuk dan yuran tahunan akan dipungut melalui potongan gaji.
  3. Yuran khas atau kutipan wang daripada ahli untuk perkara yang tertentu boleh dipungut dengan persetujuan mesyuarat agung. Sekiranya ada ahli yang mungkir membayar wang yuran tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan, maka wang itu akan di anggap sama seperti hutang yuran bulanan

FASAL 7 MESYUARAT AGUNG

  1. Pengelolaan persatuan ini terserah kepada mesyuarat agung ahli-ahli sekurang-kurangnya satu perempat (1/4) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi atau dua kali ganda jumlah Exco, mengikut mana yang kurang, hendaklah hadir di dalam mesyuarat agung bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupi korum untuk mesyuarat.
  2. Jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak lebih daripada 30 hari) yang ditetatapkan oleh exco; dan jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa meminda undang-undang Persatuan dan membuat keputusan-keputusan yang melibatkan semua ahli.
  3. Mesyuarat Agung Tahunan bagi Persatuan hendaklah diadakan dengan secepat mungkin setelah berakhirnya tahun kewangan tetapi tidak lewat daripada 31hb Mac pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Exco.
  4. Kerja-kerja mesyuarat agung tahunan ialah:
    1. menerima laporan Setiausaha Kehormat berkenaan perjalanan Persatuan di dalam tahun lalu;
    2. menerima laporan Bendahari Kehormat dan penyata kewangan yang telah diaudit bagi tahun yang lalu;
    3. memilih Exco dan Juruaudit untuk dua (2) tahun akan datang; dan
    4. menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan di dalam mesyuarat itu.
  5. Setiausaha Kehormat hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli sekurang- kurangnya empat belas (14) hari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan diadakan satu agenda mesyuarat.
  6. Mesyuarat Agung Khas bagi Persatuan ini boleh diadakan:
    1. bila difikirkan mustahak oleh exco, atau
    2. atas permintaan beramai-ramai dengan bertulis oleh tidak kurang daripada satu perlima (1/4) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi dengan menerangkan tujuan dan sebab mengadakannya. Permintaan itu hendaklah dihantar kepada Setiausaha Kehormat Persatuan.
  7. Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh di dalam tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu.
  8. Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Agung Khas itu hendaklah diedarkan oleh Setiausaha Kehormat kepada semua ahli sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk bermesyuarat.
  9. Fasal 7(1) dan 7(2) di dalam undang-undang ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan boleh digunakan untuk Mesyuarat Agung Khas tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli itu maka mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan dalam masa 6 bulan dari tarikh ini, Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan.

FASAL 8 JAWATANKUASA

  1. Jawatankuasa seperti berikut yang dinamakan Exco Tertinggi dan Exco PPUPM hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Agung:

Exco

    1. Presiden
    2. Timbalan Presiden I
    3. Timbalan Presiden II
    4. Setiausaha Kehormat
    5. Penolong Setiausaha Kehormat
    6. Bendahari Kehormat
    7. 15 Exco
  1. Pemegang jawatan Persatuan ini dan tiap-tiap Exco yang menjalankan tugas eksekutif dalam Persatuan ini hendaklah terdiri daripada Warganegara Malaysia.
  2. Nama-nama untuk jawatan-jawatan di atas hendaklah dicadangkan serta disokong dan pemilihan akan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam Mesyuarat Agung Tahunan. Semua yang dilantik akan memegang jawatan selama dua (2) tahun iaitu satu penggal dan boleh dilantik semula tiap-tiap penggal.
  3. Fungsi Exco ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian Persatuan dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan Persatuan mengikut dasar am yang telah ditetapkan oleh mesyuarat agung. Exco seharusnya tidaklah boleh mengambil tindakan yang bertentangan dengan keputusan mesyuarat agung dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan Exco mestilah sentiasa mematuhi keputusan mesyuarat agung. Exco hendaklah mengemukakan laporan berkenaan kegiatannya dalam tahun lalu kepada tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan.
  4. Exco hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam 3 bulan. Notis bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli tiga (3) hari terlebih dahulu. Pengerusi dengan bersendirian atau tidak kurang daripada 11 orang ahli Jawatankuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat jawatankuasa pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya setengah (1/2) daripada bilangan ahli Jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat.
  5. Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Exco dan mesyuarat tidak dapat diadakan, maka Setiausaha Kehormat bolehlah mendapatkan kelulusan daripada Exco secara pengedaran surat.
  6. Syarat-syarat mengenainya seperti berikut mestilah disempurnakan sebelum keputusan Exco boleh dianggap sebagai telah diterima:

    (a) Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang di dalam surat secara edaran kepada setiap Exco;
    (b) Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan Exco mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap cadangan itu; dan
    (c) Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak. Sebarang keputusan yang diperolehi melalui surat hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha Kehormat kepada Mesyuarat Exco berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan.

  7. Exco yang mungkir menghadiri Mesyuarat Exco tiga (3) kali berturut-turut tanpa alasan yang munasabah akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan di dalam Exco.
  8. Jika seorang Presiden, Timbalan Presiden I, Timbalan Presiden II, Setiausaha Kehormat, Penolong Setiausaha Kehormat atau Bendahari Kehormat meninggal dunia atau meletakkan jawatan, pengisian kekosongan jawatan tersebut hendaklah diputuskan dalam Mesyuarat Exco bagi mengisi pemangkuan jawatan tersebut sehingga Mesyuarat Agung.
  9. Exco boleh menubuhkan Jawatankuasa kecil jika difikirkan mustahak dan memberikan kewajipan khas kepada sebarang ahli Jawatankuasa.

FASAL 9 KEWAJIPAN-KEWAJIPAN PEGAWAI

  1. Presiden, dalam tempoh memegang jawatannya, hendaklah menjadi Pengerusi semua mesyuarat agung dan semua mesyuarat Exco dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat dan mempunyai undi pemutus. Presiden hendaklah menandatangani semua cek Persatuan bersama-sama dengan Setiausaha Kehormat dan Bendahari Kehormat.
  2. Timbalan Presiden I atau Timbalan Presiden II hendaklah memangku jawatan Presiden semasa ketiadaannya mengikut hirarki jawatan.
  3. Setiausaha Kehormat hendaklah menjalankan kerja pentadbiran Persatuan mengikut undang- undang dan menjalankan perintah mesyuarat agung dan Exco. Setiausaha Kehormat bertanggungjawab mengendalikan urusan surat menyurat dan menyimpan semua buku, surat dan kertas kecuali akaun dan buku-buku kewangan. Setiausaha Kehormat hendaklah menyimpan buku daftar ahli. Setiusaha Kehormat hendaklah menandatangani semua cek Persatuan bersama-sama dengan Pengerusi dan Bendahari. Setiausaha Kehormat hendaklah dalam masa 60 hari daripada tarikh Mesyuarat Agung Tahunan diadakan mengirimkan penyata tahunan Persatuan kepada Pendaftar Pertubuhan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen yang diperuntukkan mengikut kepada Akta Pertubuhan.
  4. Penolong Setiausaha Kehormat hendaklah membantu menjalankan kerja pentadbiran Persatuan mengikut undang-undang dan menjalankan perintah mesyuarat agung dan Exco. Menyimpan rekod dan dokumen persatuan.
  5. Bendahari Kehormat adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan Persatuan. Ia hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semua perkara kewangan dan bertanggungjawab di atas ketepatannya. Ia hendaklah menandatangani semua cek Persatuan bersama-sama dengan Presiden dan Setiausaha Kehormat.
  6. Exco Biasa hendaklah menjalankan tugas mengikut portfolio masing-masing seperti ketetapan di dalam Mesyuarat Exco.

FASAL 10 KEWANGAN

  1. Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan dalam undang-undang ini, wang Persatuan ini boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan Persatuan, termasuklah belanja pentadbiran, bayaran gaji, biayaan dan perbelanjaan pegawai-pegawai dan kakitangan yang bergaji serta upah memeriksa kira-kira. Walau bagaimanapun, wang itu tidaklah boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah.
  2. Bendahari Kehormat dibenarkan menyimpan wang runcit tidak lebih daripada RM 500.00 (Ringgit Malaysia : Lima Ratus) pada sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkan ke dalam bank yang diluluskan oleh Jawatankuasa. Kira-kira bank itu hendaklah di atas nama Persatuan.
  3. Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang daripada kira-kira Persatuan hendaklah ditandatangan bersama Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari. Semasa ketiadaan Pengerusi, Setiausaha Kehormat atau Bendahari Kehormat maka bolehlah Jawatankuasa melantik sesiapa di antara mereka sebagai pengganti untuk menandatangani cek atau kenyataan pengeluaran wang Persatuan.
  4. Perbelanjaan yang lebih daripada RM 5,000.00 (Ringgit Malaysia : Lima Ribu) bagi sesuatu masa tidak boleh dibayar dengan tidak diluluskan terlebih dahulu oleh Exco, dan perbelanjaan yang lebih daripada RM 20,000.00 (Ringgit Malaysia : Dua Puluh Ribu) bagi sesuatu masa tidak boleh dilakukan tanpa mendapat kebenaran Mesyuarat Agung terlebih dahulu. Perbelanjaan yang kurang daripada RM 5,000.00 (Ringgit Malaysia : Lima Ribu) bagi sesuatu masa boleh diluluskan oleh Presiden bersama Setiausaha Kehormat dan Bendahari Kehormat.
  5. Penyata dari hal wang yang diterima dan dibelanjakan serta kunci kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari Kehormat dan diperiksa oleh Juruaudit yang dilantik di bawah Fasal 11 undang-undang ini dengan seberapa segera setelah tamatnya tahun kewangan. Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan yang berikut.
  6. Tahun kewangan Persatuan ini bermula dari 1hb Januari dan berakhir pada 31hb Disember tiap-tiap tahun.

FASAL 11 JURUAUDIT

  1. Dua orang dalam kalangan Ahli Persatuan boleh dilantik di dalam Mesyuarat Agung sebagai Juruaudit. Mereka akan memegang jawatan selama dua tahun dan boleh dilantik semula.
  2. Juruaudit adalah dikehendaki memeriksa kira-kira Persatuan bagi setahun dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Agung Tahunan. Mereka juga dikehendaki pada bila-bila masa oleh Pengerusi mengaudit kira-kira Persatuan bagi mana-mana masa di dalam tempoh perkhidmatan mereka dan membuat laporan kepada Exco.

FASAL 12 PENTADBIR HARTA / PEMEGANG AMANAH

  1. Tiga orang Pemegang Amanah yang berumur lebih daripada 21 tahun hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Agung, dan mereka akan berkhidmat selama yang dikehendaki oleh Persatuan. Semua harta tetap kepunyaan Persatuan akan dimanahkan kepada mereka dengan menandatangani suatu Surat Amanah (Deed of Trust).
  2. Pemegang Amanah tidak boleh menjual, menarik balik atau memindahkan hak milik harta kepunyaan Persatuan dengan tidak mendapat kelulusan dan kuasa yang diberikan oleh mesyuarat agung Persatuan.
  3. Seseorang Pemegang Amanah itu boleh dilucutkan daripada jawatannya oleh mesyuarat agung oleh sebab uzur kerana penyakit, tidak siuman, tidak berada di dalam negeri atau kerana lain sebab yang mengakibatkan ia tidak boleh menjalankan tugas-tugasnya atau pekerjaannya dengan memuaskan. Jika berlaku kematian, peletakan jawatan atau pemecatan seseorang Pemegang Amanah maka kekosongan itu boleh dipenuhkan oleh Pemegang Amanah yang baru yang dilantik di dalam mesyuarat agung.

FASAL 13 TAFSIRAN PERLEMBAGAAN PERTUBUHAN

  1. Di antara berlansungnya mesyuarat agung, Exco boleh memberikan tafsirannya kepada undang-undang ini dan Exco, jika mustahak, boleh memutuskan perkara- perkara yang tidak terkandung di dalam undang-undang.
  2. Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam mesyuarat agung, keputusan Exco terhadap ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan mesyuarat agung

FASAL 14 PENASIHAT/PENAUNG

Exco boleh, jika difikirkan perlu, melantik orang-orang yang layak menjadi Penasihat/Penaung bagi Persatuan ini dengan syarat orang-orang yang dilantik itu menyatakan persetujuannya secara bertulis.

FASAL 15 LARANGAN

  1. Ahli PPUPM dilarang menghisap dadah di rumah Persatuan dan membawa masuk bahanbahan terlarang mengikut undang-undang Negara dan Agama Islam serta dilarang membawa masuk ke dalam rumah Persatuan individu-individu yang boleh menimbulkan ancaman kepada PPUPM serta masyarakat umum.
  2. Ahli PPUPM tidak harus cuba menghalang atau dengan apa cara juga menggangu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan kesatuan sekerja seperti definasi di dalam Akta Kesatuan Sekerja 1959.
  3. Ahli PPUPM ini tidak boleh menjalankan loteri dan perjudian sama ada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak, atas nama Persatuan atau pegawai-pegawai atau Jawatankuasa atau ahli.
  4. Faedah-faedah seperti yang diterangkan di bawah Seksyen 2 Akta Pertubuhan 1966, tidaklah boleh diberikan oleh PPUPM kepada mana-mana ahli PPUPM.


FASAL 16 PINDAAN PERLEMBAGAAN

 

Undang-undang ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan mesyuarat agung. Permohonan untuk perubahan atau pindaan kepada undangundang hendaklah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 60 hari daripada tarikh keputusan mesyuarat agung meluluskan perubahan atau pindaan itu dan hanya boleh dikuatkuasakan mulai daripada tarikh perubahan atau pindaan itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.

 

FASAL 17 PEMBUBARAN

 

  1. Persatuan ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima (3/5) daripada jumlah ahli yang menghadiri dalam suatu mesyuarat agung yang dipanggil khas kerananya.
  2. Sekiranya Persatuan hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas, maka segala hutang dan tanggungan Persatuan yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui dalam mesyuarat agung berkenaan.
  3. Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 14 hari dari tarikh pembubaran itu.

 

FASAL 18 BENDERA, LAMBANG DAN LENCANA

 

  1. Huruf P melambangkan Pentadbir.
  2. Garisan di kiri ialah simbol dahan yang melambangkan kepentingan pertanian dalam kelestarian kehidupan dan kemakmuran manusia yang merupakan tumpuan dan kekuatan UPM.
  3. Warna biru melambangkan keharmonian dan perpaduan ahli.

Kemaskini Terakhir : Thu, 03 Jun 2021 (nazlina)